10 Gaji Purata Pekerjaan Lepasan Graduan di Malaysia 2018

Gaji adalah perkara utama yang menjadi ukuran sebelum menerima sebarang tawaran kerja. Di Malaysia, terdapat beberapa pekerjaan dengan gaji paling tinggi berbanding dengan pekerjaan lain termasuk juga gaji lepasan graduan.

Perkongsian ini adalah hasil pembacaan dan kajian kami di beberapa laman web, laporan dan kajian. Ketepatan gaji adalah berbeza mengikut syarikat.

Walaupun dengan jawatan yang sama, gaji antara satu syarikat dengan syarikat yang lain mungkin berbeza.

Tujuan pendedahan gaji ini sebagai panduan untuk pencari kerja menilai tawaran gaji. Namun, walaupun gaji sebagai lepasan graduan (fresh graduates) mungkin tidak setinggi seperti diceritakan, namun peluang diberi pekerjaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Lama kelamaan gaji akan terus meningkat sesuai dengan pengalaman. Peningkatan gaji boleh berlaku pada syarikat yang sama atau melalui pengembangan karier di tempat lain. Sebab itu pengalaman itu sangat-sangat bernilai dan masa yang sesuai adalah sewaktu kerja pertama.

pengalaman-kerja-naik-gaji

Oleh kerana kami hanya fokus kepada lepasan graduan (fresh graduates), jadi gaji yang dipaparkan adalah untuk kategori tahap permulaan (entry-level). Juga gaji yang digunakan adalah untuk pekerjaan di Lembah Klang (Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Cyberjaya) sahaja.

Data ini adalah dari 2017 dan kami yakin ianya tidak banyak berubah untuk awal tahun 2018. Peningkatan mungkin akan mula berlaku pada pertengahan tahun ini.

Jom kita baca 10 gaji purata pekerjaan lepasan graduan di Malaysia 2018

1. Pembinaan dan Bangunan – Purata RM3,900

Malaysia sebagai negara membangun memang memerlukan tenaga pakar yang ramai dalam bidang pembinaan bangunan. Lihat sahaja di bandar-bandar besar, kerja-kerja pembinaan bangunan, rumah dan kedai berjalan dengan rancak.

Antara bidang pekerjaan dalam bidang ini adalah arkitek, jurutera, jurunilai dan seni bina dalaman.

2. Perubatan dan Kesihatan – RM3,500

Tahukah anda nisbah doktor di Malaysia berbanding pesakit?

1:600

Bermaksud seorang doktor perlu merawat 600 orang pesakit. Satu tugasan yang sangat mencabar. Bersesuaian dengan cabaran profesion perubatan ini, ditambah dengan kurangnya sumber manusia, tangga gajinya menjadi sangat tinggi.

Walaupun pada peringkat awal, kami fikir ianya sangat berpatutan dengan tanggungjawab mereka menjada kesihatan kita.

 

3. Teknologi Maklumat – Purata RM3,000

Dengan kebergantungan kepada teknologi maklumat (IT), banyak syarikat sudah menuju ke arah digital. Bidang IT mempunyai banyak cabang seperti perkakasan (hardware), perisian (software), aplikasi, pengaturcaraan (programming), keselamatan (security), multimedia, laman web dan banyak lagi.

Mengikut kajian, bidang IT di Malaysia mempunyai peluang pekerjaan yang sangat banyak. Bagi kami ianya sangat lumayan untuk permulaan karier anda.

4. Hotel dan Restoran – RM3,000

Penyedia perkhidmatan penginapan memberi peluang kepada graduan muda memulakan kerjaya. Begitu juga dalam bidang makanan dan minuman iaitu restoran. Bidang ini adalah keperluan utama untuk kita.

Untuk perhotelan didorong oleh peningkatan jumlah pelancong ke Malaysia, pekerjaan dalam bidang ini berkembang pesat.

Untuk rekod, pada tahun 2017 lebih 25 juta orang pelancong telah berkunjung ke Malaysia. Berbanding dengan negara jiran Indonesia, pada tahun yang sama hanya 14 juta orang pelancong yang melawat.

Ia membuktikan sambutan yang amat baik terhadap industri perlancongan negara. Secara tidak langsung industri lain juga akan mendapat manfaat dan meningkatkan peluang pekerjaan.

5. Media dan Komunikasi – Purata RM2,600

Pekerjaan dalam bidang ini memerlukan komitmen yang tinggi kerana tugasan mereka ada kalanya tidak mengenal waktu dan masa. Perkembangan industri komunikasi dan teknologi misalnya memberi lebih peluang kepada graduan mendapatkan kerja.

Antara kerja yang popular adalah kewartawanan, penyiaran, teknikal dan multimedia. Lokasi tempat kerja biasanya di ruang pejabat akhbar, televisyen dan radio.

6. Pendidikan dan Latihan – Purata RM2,600

Mengikut data Kementerian Pendidikan Tinggi, pada 2017 seramai 18,236 lepasan siswazah dalam bidang Pendidikan. 68% sudah mendapat kerja. 7% peratus lagi menunggu penempatan kerja. Ini bermakna, lebih 75% sudah mendapat pekerja dan membuktikan permintaan dalam bidang pendidikan sangat baik.

kerja-cikgu-sekolah

Walaupun gaji lepasan graduan untuk bidang ini tidak setinggi bidang sebelumnya, namun ianya masih di anggap baik. Cuma komitmen bulanan yang perlu ditanggung setiap bulan menentukan sama ada gaji ini cukup atau tidak, bergantung kepada individu.

7. Pembuatan dan Kilang – RM2,500

Kata orang, sebelum dapat kerja kita boleh bermula dengan kerja kilang. Perkilangan termasuk pembuatan barang keperluan harian dan juga barangan industri.

Malaysia adalah sebuah negara industri yang berkembang setiap tahun. Pada tahun 2017, peningkatan sebanyak 5.7% disebabkan permintaan dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Jadi terdapat permintaan tenaga kerja dalam bidang ini yang membantu lepasan graduan mendapatkan kerja pertama. Perlu diingat, di dalam sektor perkilangan bukan hanya kerja buruh semata-mata. Terdapat juga tahap eksekutif yang sesuai dengan kelayakan lepasan universiti.

8. Kejuruteraan – Purata RM2,400

Pekerjaan dalam bidang ini merangkumi banyak cabang industri. Kejuruteraan diperlukan di bidang perkilangan, perubatan, pembinaan, penyelidikan dan teknologi maklumat.

9. Akaun dan Kewangan – RM2,400

Satu bidang yang sangat diperlukan di semua syarikat. Tanpa pengurusan kewangan yang baik, pasti syarikat mempunyai masalah untuk merancang dan membelanjakan pendapatan syarikat.

Pekerjaan dalam bidang ini memerlukan integriti dan professional yang tinggi. Seiring dengan pengalaman kerja dan pengiktirafan, individu yang bekerja dalam bidang ini mampu menjana pulangan tinggi pada masa akan datang.

10. Admin dan Sumber Manusia – Purata RM1,900

Sebuah syarikat beroperasi perlu mempunyai kepakaran dalam bidang pentadbiran (admin) dan juga sumber manusia. Walaupun hanya syarikat kecil, kerja-kerja pentadbiran masih diperlukan untuk memantau operasi syarikat.

Sumber rujukan: Salary Report JobStreet & Sentral College Penang

-MZ ISMAIL-

Leave your thoughts

ebook temuduga kerja

Job vacancy for fresh graduate. Find your dream job today!

Follow Us